Insan genius jadi pengebom bersiri
PADA 22 Mei 1942, lahir seorang bayi lelaki genius yang kemudian membesar menjadi ikon ‘legenda’ dalam sejarah dunia. Kepintaran anak pasangan Richard Kaczynski dan Wanda Theresa itu terserlah sejak kecil lagi apabila dia berjaya melompat kelas dari gred lima terus ke gred tujuh di sekolah Evergreen Park Central, Illinois, Amerika Syarikat (AS). Ujian kepintaran yang dijalankan juga mendapati kanak-kanak itu, Theodore Kaczynski, memiliki tahap kepintaran (IQ) luar biasa iaitu 170 berbanding manusia biasa sekitar 110. Laluan kehidupan Kaczynski bagaimanapun berubah apabila dia melompat kelas. Sebagai kanak-kanak lebih muda berbanding pelajar lain dalam gred tujuh, dia gagal menyesuaikan diri malah menjadi ejekan pelajar lebih berusia. Akibatnya, perkembangan sosial Kaczynski menurun. Dia takut bergaul dengan orang ramai, sering bermain seorang diri dan satu-satunya rakan beliau adalah seorang kanak-kanak lelaki terencat akal. Bagaimanapun, masalah itu tidak menjejaskan kep...