Sukan serumpun

Pro&Kontra:
Sukan serumpun mampu erat hubungan Malaysia, Indonesia
Bersama Raja Ahmad Zainuddin
SAYA agak terkejut kerana ada juga rakyat di Indonesia yang tidak mengetahui atlit angkat berat negara, Mohamad Hidayat Hamidon adalah berasal dari Sumatera. Perkara ini timbul ketika saya cuba meyakinkan rakan-rakan di negara jiran itu betapa kukuhnya kita sebagai dua negara serumpun dan sukan tidak ketinggalan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan.

Hidayat adalah pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, yang juga pemegang rekod kebangsaan bagi kategori 69 kilogram (kg) dan mewakili negara pada Sukan Asia Doha tahun lalu.

Sumbangan dan kesediaannya mewakili negara juga sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng kerana ia turut menggambarkan bagaimana hubungan rakyat kedua-dua negara tetap padu. Banyak sebenarnya yang dilakukan oleh Malaysia dalam mengeratkan silaturahim yang sedia terjalin bersama jiran tetangga itu termasuk dalam aktiviti sukan, selain 2 juta rakyat Indonesia yang sedang bekerja di negara ini.

Saya berada di Sumatera Utara dan Jawa baru-baru ini bersama beberapa teman wakil rakyat dari Barisan Nasional yang lain dalam kunjungan ke Medan dan Jakarta, bagi memperjelaskan isu-isu yang timbul bagi menjaga hubungan baik Malaysia-Indonesia. Bahkan bukan setakat itu, Malaysia juga mengambil seorang pakar badminton mereka, Rexy Mainaky untuk melatih pemain-pemain negara dan ternyata ia mendatangkan kejayaan. Sebelum ini, kita juga pernah mengambil Indra Gunawan.

Lebih penting dilihat ialah kemampuan Indonesia yang bukan sahaja berjaya melahirkan atlit yang berpotensi dan mengharumkan nama di persada sukan antarabangsa, tetapi juga menjadi pemain profesional.

Ada juga di antara mereka yang mewakili negara yang dulunya tidak langsung terkenal dalam permainan badminton, tetapi tiba-tiba mencatat nama seperti Amerika Syarikat. Oleh itu, saya memberitahu betapa Indonesia seharusnya bersyukur kerana kelebihan yang ada pada ahli sukan mereka.

Sementara itu, saya juga ingin mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman menimbang untuk mengadakan sukan serumpun dengan Indonesia bagi memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia dengan negara jiran itu. Barangkali cara ini kita ibarat sambil menyelam minum air, manalah tahu akan ada atlit-allit berbakat yang akan muncul dan boleh kita ketengahkan lagi bagi masa depan negara.

Pada masa sama, Malaysia juga berbangga kerana kini sudah ada jurulatih tempatan yang mengharumkan nama Malaysia di luar negara. Yang terbaru ialah Irfan Bakti Abu Salim apabila kelabnya, Persipura Jayapura baru-baru ini muncul juara di final Piala FA Indonesia. Cuma, bilakah pula kelab bola sepak Indonesia akan menawarkan pemain negara beraksi pada liga mereka. Saya masih ingat, bekas pemain Singapura, Fandi Ahmad pernah bermain di sana.

Beberapa pemain kebangsaan Indonesia seperti Ponaryo pernah bermain untuk Telekom Melaka manakala Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy pula mewakili Selangor.
Sumber; Bharian

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Cara Hack Chip Poker Terbaru

Sejarah Negeri Wuna

RUMAH BUDAYA SULAWESI TENGGARA